Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menggariskan
kepada kita mengenai sifat-sifat yang ada pada hambanya yang pemurah (
‘ibadurrahman ) untuk sama-sama kita renungi dan contohi melalui
ayat 63 hingga 77 surah al-Furqan. Allah tidak pernah menzalimi
hamba-hambanya malah dengan sifat pengasih dan penyanyangNya, Dia telah
memberi panduan secukupnya kepada kita bagaimana cara menjadi seorang hamba
yang pengasih disisiNya dan makhlukNya yang melata di muka bumi ini melalui
tarbiyyah Quraniayyah( didikan berlandaskan al-Quran ) untuk dijadikan
rujukan dan sinar petunjuk kepada kita. Di antara sifat hambaNya yang pengasih
adalah sebagaimana berikut :
1. Bersifat merendah diri
(tawaddhu’), bersopan-santun, tenang di dalam semua keadaan dan memelihara
diri daripada perkara-perkara yang tidak mendatangkann faedah. Firman Allah
dalam ayat 63 surah al-Furqan yang bermaksud :
Dan hamba-hamba Tuhan
Yang Maha Pengasih itu adalah mereka yang berjalan di atas muka bumi dengan
rendah diri dan apabila orang-orang kahil menyapa mereka, mereka ucapkan
kata-kata yang baik.
2. Khusuk dan tawaddu’, mereka
gerun dan takut akan azab Allah yang digambarkan melaui rasa kehambaan-nya
(‘ubudiyyah) yang ikhlas kerana Allah. Firman Allah dalam ayat 64 hingga
66 surah al-Furqan yang bermaksud :
Dan orang yang menghabiskan
malam hari dengan sujud dan berdiri kerana Tuhan mereka. Dan mereka yang
berkata : “Wahai Tuhan kami! Jauhkan azab neraka jahannam daripada kami,
sesungguhnya azabnya itu merupakan kebinasaan yang kekal”. Sesungguhnya
neraka jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.
3. Bersederhana dalam semua
perkara dan keadaan. Tanda-tanda hamba yang pemurah yang lain pula ialah
bersederhana dan berpada di dalam menafqahkan harta serta tidak pula merasa
kedekut(kikir) ataupun merasa akan berkurangan sebahagian daripada hartanya
diperlukan. Firman Allah dalam ayat 67 surah al-Furqan yang bermaksud
:
Dan mereka yang mana
apabila membelanjakan harta, mereka tidak berlebih-lebihan dan tidak pula
terlalu kedekut(kikir), dan adalah pembelanjaan itu seimbang diantara kedua-duanya.
4. Mentauhidkan (mengEsakanNya)
dan tidak mensyirikkanNya serta menjauhkan diri daripada perkara-perkara
yang dimurkai Allah dan mendatangkan dosa. Mereka yang terpilih sahaja
yang layak diberi gelaran hambaNya yang pemurah, namun begitu jika dia
terjebak dengan dosa besar maka Allah akan melipat gandakan siksaan ke
atasnya melainkan mereka yang bertaubat dan mengerjakan amalan soleh. Firman
Allah dalam ayat 68 hingga 71 surah al-Furqan yang bermaksud :
Dan mereka yang tidak
menyembah tuhan yang lain berserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan
oleh Allah kecuali dengan sebab yang dibenarkan dan tidak pula mereka melakukan
zina, sesiapa yang melakukan demekian itu, nescaya dia akan mendapat pembalasan
dari dosanya. Iaitu akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari qiamat
dan dia akan kekal dalam azab itu dalam keadaan hina. Kecuali mereka yang
bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh maka kejahatan mereka akan
diganti oleh Allah dengan kebajikan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi
Maha Penyayang. Dan orang yang bertaubat dan mengerjakan amalan soleh maka
sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.
5. Menjaga maruah dan
kemuliaan diri daripada melakukan saksi palsu dan membuang masa dengan
perkara-perkara yang melalaikan. Mereka juga sentiasa bersifat benar dan
tidak berdusta. Bersungguh-sungguh di dalam segenap urusan serta tidak
suka membiarkan waktu berlalu begitu sahaja. Oleh itu apabila diajak untuk
berbual kosong, dia akan menghadapinya dengan cara yang bijaksana. Firman
Allah dalam ayat 72 surah al-Furqan yang bermaksud :
Dan mereka yang tidak
melakukan sajsi palsu, dan apabila mereka bertemu dengan orang-orang yang
mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah mereka laui sahaja
dengan menjaga kehormatan dirinya.
6. Menerima dan mendengar
segala peringatan Allah dengan tenang dan sepenuh hati. Pemikirannya ditumpukan
kepada ayat-ayat Allah sama ada berupa perintah tau larangan. Dia menyedari
bahawa dia adalah hamba dan milik Allah sehingga menjadikan ayat-ayat Allah
meresap di seluruh urat nadinya. Firman Allah dalam ayat 73 surah al-Furqan
yang bermaksud :
Dan mereka yang mana
apabila diberi peringatan dengan ayat-ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah
menghadapinya sebagaimana mereka yang tuli dan buta.
7. Sentiasa berharap agar
dikurniakan isteri-isteri dan cahayamata yang menyenangkan hati yang mana
mereka terdiri daripada kalangan mereka yang beriman, berilmu dan taat
beragama. Harapannya ini bukan satu khayalan malah dia dahului dengan persiapan
dirinya sendiri, mendidik diri untuk menjadi orang yang soleh dan taat
beragama. Firman Allah dalam ayat 74 surah al-Furqan yang bermaksud
:
Dan mereka yang berkata
:”Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan keturunan
kami sebagai penyejuk hati dan jadikanlag kami imam(pemimpin) bagi mereka
yang bertaqwa.
8. Bersabar dlam melaksanakan
perintah Allah dan mentaatiNya, bersabar di dalam menjauhi larangan Allah
dan daripada menuruti hawa nafsunya serta bersabar di dalam menyampaikan
dakwah. Dia menyedari bahawa kesabaran adalah suatu jalan yang terbaik
di dalam merealisasikan mabda’ tarbawi yang dikehendaki sehingga melayakkan
dirinya untuk menerima ganjaran yang setimpal dengan kesabarannya di dunia
dahulu. Firman Allah dalam ayat 75 surah al-Furqan yang bermaksud
:
Mereka itulah orang yang
akan dibalas dengan kedudukan yang tinggi di dalam syurga kerana kesabaran
mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan ucapan selamat sejahtera
di dalamnya.
Marilah
kita sama-sama merenung segala sifat yang perlu ada pada mereka yang ingin
menjadi hamba Allah yang pengasih. Cuba tanya dan muhasabah diri kita adakah
semua sifat itu sudah ada ataupun semuanya belum tersemat lagi di dalam
kita. Marilah kita sama-sama melakukan reformasi diri ke arah yang lebih
terbaik daripada hari-hari semalam yang telah berlalu. Hari kematian kita
tidak tahu, begitu juga dengan segala amalan kita adakah diterima ataupun
tidak. Oleh itu kita hendaklah sentiasa menambah amalan serta memastikan
segala sifat yang dirakamkan oleh Allah di dalam surah Al-Furqan
itu mampu kita hayati bersama. Yakinlah kia bahawa setiap sesuatu yang
diberitahu oleh Allah di dalam kitab suci Al-Quran bukanlah sesuatu yang
hanya berbentuk teori tetapi ia mampu dibuat dan diamalkan oleh hamba-hambanya
yang beriman dan sentiasa mengamalkan segala apa yang terkandung dalam
Al-Quran.