PEMILIK DUA KEBUN
  
 
 Al-Quran merupakan mukjizat terbesar yang dianugerahkan oleh Allah kepada khatamul anbiya' nabi Muhammad S.A.W. Ia juga merupakan rahmat yang berkekalan kepada umat akhir zaman di dalam menjaga dan mengurus segala bentuk kerja yang hendak dilakukan sama ada dari sudut ibadat khusus, perundangan,politik, mua'malat, nikah kahwin dan sebagainya. Tidak ketinggalan juga, Allah turut memuatkan kisah-kisah teladan yang mesti kita bersama mengambil iktibar daripadanya bukan sekadar menjadi bahan bacaan semata-mata. Di sini kita akan sama-sama mengambil sebanyak mungkin faedah daripada sebuah kisah yang dirakamkan oleh Allah dalam ayat 32 hingga 46 surah al-Kahfi yang bermaksud : 
32. Dan berikanlah kepada mereka suatu perumpamaan dua orang lelaki, kami berikan kepada seorang di antara keduanya(yang kafir) dua buah kebun anggur dan Kami kelilingi kedua kebun itu dengan pohon-pohon kurma dan di antara kedua kebun itu Kami jadikan ladang.  
33. Kedua buah kebun itu menghasilkan buahnya dan kebun itu tiada kurang buahnya sedikitpun, dan Kami alirkan sungai di celah-celah kedu kebun itu.  
34. dan dia mempunyai kekayaan maka dia berkata kepada kawannya(yang mukmin) ketika dia berbual-bual dengannya : "Hartaku lebih banyak daripada hartamu dan pengikut-pengikutku lebih kuat".  
35. Dan dia memasuki kebunnya sedangkan dia menzalimi diri sendiri sambil berkata : "Aku kira kebun ini tidak akan binasa selama-lamanya".  
36. dan aku tidak mengira hari qiamat itu akan datang, jika sekiranya aku dikembalikan kepada Tuhanku, pasti aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada kebun-kebun itu".  
37.Kawannya(yang mukmin) berkata kepadanya sedang dia berbual-bual dengannya : "Apakah kamu kufur kepada(Tuhan) yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani lalu Dia menjadikan kamu seorang lelaki yang sempurna?".  
38. Tetapi aku(percaya bahawa): Dialah Allah, Tuhanku dan aku tidak menyekutukan dengan Tuhanku sesuatu.  
39. Dan mengapa kamu tidak mengucapkan ketika kamu memasuki kebunmu Masya Allah La Quwwata Illa Billah(Sesungguhnya atas kehendak Allah ini wujud, tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah). Sekiranya kamu menganggap aku lebih sedikit daripadamu dalam hal harta dan keturunan,  
40. maka mudah-mudahan Tuhanku akan memberi kepadaku(kebun) yang lebih baik daripada kebunmu(ini) dan mudah-mudahan Dia mengirimkan ketentuan(petir) dari langit kepada kebunmu hingga (kebun itu) menjadi tanah yang licin.  
41. atau airnya menjadi terserap ke dalam tanah, maka sekali-kali kamu tidak dapat menemukannya lagi".  
42. Dan harta kekayaannya dibinasakan lalu ia membalikkan kedua tangannya(tanda menyesal) terhadap apa yang dia telah belanjakan untuk itu, sedangkan pohon anggur itu roboh bersama-sama para-paranya dan dia berkata: "Aduhai sekiranya dahulu aku tidak menyekutukan dengan Tuhanku sesuatu".  
43. Dan tidak ada bagi dia segolonganpun yang akan menolongnya selain Allah dan sekali-kali ia tidak dapat membela dirinya.  
44. Di sana pertolongan itu hanya daripada Allah yang Maha Benar. Dia adalah sebaik-baik Pemberi pahala dan sebaik-baik Pemberi balasan  
45. Dan berulah perumpamaan kepada mereka(manusia), kehidupan dunia adalah sebagaimana air hujan yang kami turunkan dari langit maka ia menyuburkan tumbuh-tumbuhan di muka bumi, kemudian tumbuh-tumbuhan itu menjadi kering yang diterbingkan oleh angin. Dan Adalah Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.  
46. Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan tetapi segala amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan. 

RINGKASAN KISAH  

    Al-Quran telah merakamkan kepada kita bagaimana dua keadaan yang berbeza dalam kehidupan ini yang berkaitan dengan kebendaan serta pemilikan yang telah dianugerahkan oleh Allah. Kisah ini menceritakan bagaimana dua orang pemuda yang mana salah seorang daripada mereka seorang yang beriman tetapi dia tidak memiliki kemewahan dunia.Namun begitu dia tetap memiliki iman yang kental dan pertimbangannya berdasarkan Islam. Dia melihat kemewahan dunia dengan pandangan yang betul dan bertepatan dengan Islam. Manakala seorang pemuda lagi seorang kafir yang mana Allah menganugerahkan kepadanya dua kebun yang cantik dan subur lagi luas. Kedua-duanya merupakan kebun anggur yang mana dikelilingi oleh pepohon kurma. Disamping itu ditanam tanaman dicelah-celah pepohon tadi. Allah telah memerintahkan  kepada dua kebun tadi agar mengeluarkan hasil kepada pemiliknya iaitu pemuda kafir tadi yang mana daripada kedua-dua kebun itu mampu menghasilkan buah dan makanan. Kedua-dua kebun itu menurut segala perintah Allah yang mana kedua-duanya telah mengeluarkan buah daripada kesemua tanaman yang ada di dalamnya.  
    Pemuda yang kafir itu telah diuji oleh Allah dengan apa yang dimiliki daripada kemewahan dunia dan keseronokannya yang sementara. Dia menyangka kesemuanya itu merupakan matlamat hidup dengan melupakan Allah dan hari akhirat. Dia telah berjumpa dengan kawannya yang beriman yang mana dengan perasaan sombong dan angkuh dia mengatakan bahawa dia merupakan manusia yang paling mulia disisi manusia dan Allah. Dia telah menyatkan kepada kawannya lagi bahawa dia memiliki harta yang bertimbun yang lebih banyak daripada kawannya yang beriman. Ini adalah kerana dia telah mengira dari sudut kekayaan kebendaan sahaja disamping ramainya pembantu dan tingginya pangkat.  
    Pada suatu hari, pemuda kafir itu telah melawat kebunnya dalam keadaan menzalimi diri sendiri kerana hatinya telah dipenuhi dengan perasaan kufar kepada Allah dan segala nikmatNya. Dia menyangka kebun dan harta yang dimiliki akan berkekalan dan ia merupakan matlamat hidup. Disamping itu, dia menyangka bahawa tiadanya hari qiamat.Dia juga dengan angkuh menyatakan bahawa sekiranya dia dikembalikan kepada Allah, dia tetap akan mendapat kedudukan yang lebih baik dan mulia di sisi Allah kerana di dunia ini pun dia sudah mendapat kemuliaan itu.  
    Manakala kawannya yang beriman terus tetap dengan keimanan dan pandangannya berteraskan Islam yang mana kemewahan dunia yang dimiliki oleh pemuda kafir itu tidak sedikitpun menggugat keimanannya. Dia juga tidak lemah dengan sindiran tajam yang keluar daripada mulut pemuda kafir itu sebaliknya dengan tegas dia terus berhadapan dengannya di dalam menyatkan kebenaran. Dia telah bertanya kepada pemuda kafir tadi yang mana adakah rasional dia kufur kepada Allah yang menjadikannya daripada tanah, kemudian menjadi air mani dan pada akhirnya menjadi manusia yang sempurna sifatnya. Dia juga menyatakan bahawa Allah adalah Tuhannya yang mana dia tidak sekali-kali menyekutukanNya. Dia juga telah mengajak pemuda kafir tadi untuk mengenali kelebihan Allah dan juga menghindari daripada bermegah dengan kemewahan kebendaan yang sementara. Dia juga menasihatkan agar pemuda kafir itu supaya mengucapkan Masya Allah La Haula wala Quwwata Illa bilLah ketika memasuki kebunnya yang subur hasil kurniaan Allah.  
    Pemuda yang beriman juga memberi amaran mengenai azab dan bala yang akan diterima olehnya jika terus kufur, melampau dan bongkak dengan dua kebun yang subur kurniaan Allah itu. Allah berkuasa memusnah dan menghancurkan kedua-duanya dan inilah yang dijangka oleh pemuda yang beriman itu. Oleh itu dia terus memberi peringatan kepada kawannya yang kafir itu agar kembali kepada jalan kebenaran sebelum Allah menurunkan bala tetapi segala nasihat yang diberi tidak diendah oleh kawannya yang kafir.Akhirnya Allah menghantar petir yang memusnahkan kebun-kebunnya dan menghilangkan kesemua pohon anggur dan kurma di dalamnya sehingga ia menjadi tanah yang rata. Ia juga menjadi tempat air sungai mengalir dan segala hasilnya diserapkan ke dalam tanah.  
    Pemuda kafir merasa menyesal sambil membalik-balikkan kedua tangannya tetapi penyesalannya tidak berguna lagi.Ini kerana penyesalan hanya timbul selepas kesemuanya dihancurkan akibat keangkuhan dirinya sendiri. Dia juga ingin menjadi seorang mukmin yang bersyukur dengan menyatakan bahawa dia tidak akan lagi menyekutukan Allah dengan sesuatu.Inilah yang diibaratkan oleh pepatah Melayu : Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tiada berguna.  
    Semoga kisah ini menjadi peringatan kepada kita agar sentiasa bersyukur dengan segala nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita. Seungguhnya nikmat Allah itu tidak terhitung banyaknya. 

 
 PENGAJARAN  

1. Kisah ini merupakan kisah yang benar-benar berlaku pada masa dahulu dan bukannya sebagai perumpamaan sahaja.  

2. Dua kategori pemuda ini iaitu seorang beriman dan seorang lagi kafir merupakan contoh dan ia terus wujud sehingga sekarang tidak kira tempat dan masa.  

3. Allah turut menganugerahkan kepada orang yang kufur dan mengujinya dengan kekayaan. Ini adalah bagi menguji dan mencuba mereka dan bukannya sebagai tanda bahawa Allah kasih dan redha kepada mereka.  

4. Allah juga menguji dan mencuba keimanan seorang mukmin dengan menyempitkan rezekinya dan menyekat daripada merasai keseronakan yang sementara. Ini bukan bermakna Allah murka kepada mereka.  

5. Kemewahan dan keseronokan dunia merupakan sesuatu yang tidak berharga di sisi Allah yang mana ia boleh dianugerahkan kepada sesiapa sahaja sama ada mereka beriman mahupun mereka yang kufur. Allah memberikannya kepada sesiapa yang Dia suka dan sesiapa yang Dia murka. Ini berlainan dengan nikmat agama Islam yang hanya dikurniakan kepada mereka yang dikehendakiNya.  

6. Allah sahaja yang mampu memberi rezeki, nikmat dan segala pemberian. Manakala manusia melalui kesungguhan, pemikiran, jalan dan harta tidak lebih hanya sebagai sebab-sebab yang zahir di dalam mendapatkannya.  

7. Bumi dan tanaman tetap mengeluarkan hasil walaupun pemiliknya tidak beriman kepada Allah kerana patuhnya mereka kepada arahan Allah tidak sebagaimana pemiliknya.  

8. Tanggapan dan pandangan yang sesat yang digambarkan oleh Allah melalui kisah ini adalah mengenai tanggapan bahawa mereka yang akan dimuliakan oleh Allah diakhirat nanti adalah mereka yang telah dimuliakan semasa hidup didunia lagi. Manakala mukmin walaupun beriman tetapi oleh kerana disekat oleh Allah kemewahan dan kemulian didunia ini maka mereka  sekali lagi akan dihina oleh Allah di akhirat nanti menurut tanggapan mereka yang sesat.  

9. Iman akan mengawal tuannya yang mana orang beriman akan ditinggikan darjatnya dan dia akan sentiasa merasa dimuliakan oleh Allah. Dia tidak berasa lemah, hina diri dan kelu apabila berhadapan dengan mereka yang kaya dengan kemewahan dunia tetapi lupa diri dan dia tidak bercita-cita menjadi sebagaimana mereka itu.  

10. Kewajipan kita untuk menegur dan menasihat kepada mereka yang terlalu angkuh dan mengkhianati serta tidak bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan.Mereka juga mesti diberi peringatan mengenai bala dan balasan Allah jika tidak bersyukur. Kita juga hendaklah meminta mereka agar sentiasa bersyukur dengan kelebihan yang diberi serta menggunakan segala nikmatNya pada perkara taat.  

11. Orang yang angkuh dan sombong akan menyesal apabila segala nikmat dan rezeki mereka ditarik dan hilang daripada mereka tetapi segala penyelesaian mereka tidak akan memberi manfaat apa-apa.  

12. Ucapan Masya Allah, La Haula wala Quwwata illa bilLah merupakan satu doa yang sunat diucapkan apabila melihat sesuatu yang menakjub yang berlaku pada ahli keluarga dan harta kita. Ucapan kesyukuran ini akan membawa kepada nikmat yang berterusan disamping kita hendaklah  menggunakan segala nikmat pada perkara yang diredhai sahaja.   

13. Sesiapa yang sentiasa mengingati dan mengikut segala perintah Allah tidak akan menanggung sebarang kerugian walaupun tidak mendapat kemewahan dan nikmat dunia.  

14. Sesiapa yang angkuh dan tidak menurut segala suruhan Allah tidak pernah untung walaupun memiliki kekayaan dan kemewahan dunia yang sementara. 
 
 
 

Biografi 
1. Al-Quranul Karim 
2. Ma'a Qisosus Sabiqiin fi Al-Quran karangan Profesor Abdul Fatah Al-Khalidi - Darul Qalam